Monday, September 26, 2011

PAS Gagal Tunai janji untuk tegak undang-undang Islam

Enakmen Kanun Jenayah Syariah (11) 1993 yang diluluskan oleh dewan Undangan Negeri Kelantan secara bulat suara pada 25 November 1993 tidak menepati Hudud Islam, tetapi lebih kepada Hudud PAS

Isu yang sering dijaja oleh PAS untuk menarik sokongan para penyokong PAS dan umat Islam amnya ialah isu hendak melaksanakan undang-undang Islam, iaitu hudud jika dapat memerintah. Selepas kemenangan PAS dapat menguasai dua negeri, Kelantan dan Terengganu pada pilihanraya ke-10 (1999), PAS lalu mengemukan draf Hudud, tetapi ditolak oleh Parlimen atas sebab-sebab terdapat banyak kelemahan untuk diakui sebagai Hudud Islam, sebaliknya hanya sebagai Hudud PAS sahaja. Bila PAS sendiri setuju membuat pindaan, jelas menandakan undng-undang itu bikinan manusia, jika mereka mendakwa sebagai undang-undang Allah yang diambil daripada al-Quran dan hadis, mana boleh dipinda-pinda hukm Allah. Itulah hujah UMNO yang menolak draf Huduh PAS itu kerana penolakan itu bukan bererti menolak undang-undang Allah, tetapi undang-undang PAS yang terdapat banyak kelemahan.

Namun PAS tetap tidak berpuasa hati dan tetap melemparkan tuduhan kepada kerajaan BN yang didominasi oleh UMNO sebagai sesat dan kerajaan toghut kerana kononnya menolak undang-undang Islam. PAS mendakwa, siapa yang mengkritik draf Hudud PAS sebagai mencabar hukum Allah, menjadi murtad dan terkeluar dari Islam.

Pihak PAS tetap berusaha menyakinkan rakyat bahawa Enakmen Kanun Jenayah Syariah (11) 1993 yang diluluskan oleh dewan Undangan Negeri Kelantan secara bulat suara pada 25 November 1993 dan draf Enekmen Huhud Terengganu adalah menepati kehendak hudud Allah yang terkandung di dalam al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Manakala di pihak UMNO pula dengan tegas dan berani mendakwaan enakmen tersebut tidak boleh dinamakan hukum hudud Allah, bahkan mensifatkannya sebagai Hudud PAS sahaja.

Ramai juga di antara bekas-bekas aktivis PAS di Kelantan dan Terengganu dengan berani turut mengeluarkan kenyataan bahawa hukum hudud yang hendak dilaksanakan oleh kerajaan Kelantan dan Terengganu pimpinan PAS adalah hudud manusia dan bukannya hudud Allah.

Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr. Mahathir (sekarang Tun) dalam ucapan penggulungnya semasa hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO ke-54 menyindir PAS, katanya; “Kita tak berasa kita salah apabila kita menolak hukum Hudud PAS. Hukum Hudud PAS antara Kelantan dan Terengganu pun tak sama, macam mana cerita, lepas itu Terengganu buat pindaan, berapa kali nak buat pindaan. Jadi bagi PAS apabila dia buat pindaan tak apa, kalau kita nak pinda sikit tafsiran berkenaan agama Islam, oh! itu salah, kita mesti terima semua tafsiran”.

Jadi, bila hukum hudud PAS Terengganu boleh dipinda-pinda, itu menandakan bahagian yang dipinda itu bukanlah hukum datang dari Allah yang terdapat dalam al-Quran, kalau datang dari Allah mana boleh di pinda-pinda. Pinda hukum dalam al-Quran mana boleh. Tapi peliknya PAS mendakwa ia sebagai hukum Islam total.

Sebenarnya ditegaskan lagi hukum hudud di Kelantan dan Terengganu bukan hudud Islam tetapi hudud buatan PAS sen­diri yang mengubahsuai hukum Allah kemudian melabelkannya sebagai hukum Allah dan mendakwa hukum Islam yang wajib diterima tanpa soal jawab.

Kepada pengubal enakmen-enakmen tersebut dan kepada seluruh pemimpin PAS yang mengelirukan orang yang jahil, kita bacakan kepada mereka firman Allah swt. yang bermaksud; “Maka kecelakaan yang besarlah bagi orang yang menulis al-Kitab dengan tangan mereka sendiri lalu dikatakannya ini dari Allah den­gan maksud untuk memperoleh keuntungan yang sedikit dengan perbuatan itu. Maka kecelakaan besarlah bagi mereka kerana apa yang tulis oleh tangan mereka sendiri dan kecelakaan besarlah bagi mereka kerana apa yang mereka kerjakan.” (Surah al-Baqarah: 79)

Atas kegagalan PAS Terengganu menunaikan janjinya selepas PRU 10 (1999), lalu pada PRU 11 (2004) Terengganu kembali ke pangkuan BN. Sehingglah dalam PRU 12 (2008) PAS tidak lagi timbulkan isu hudud dan isu negera Islam lagi, sebaliknya membuat manifesto “Negara Kebajikan” pula. Taktik PAS mengalih perhatian daripada isu Hudud dan isu Negara Islam (kerana ditentang oleh DAP) kepada isu Negara Kebajikan disifatkan oleh rakyat sebagai suatu kegagalan PAS dalam melaksanakan janjinya untuk menegakkan undang-undang Islam. Sebaliknya atas kegagalan itu PAS menuding jari dan menuduh UMNO sebagai punca kegagalan mereka. Tetapi tidak mendapat sambutan. Selain kesilapan dalam mengemukakan draf hudud yang terdapat banyak sekali kelemahan, PAS Terengganu melakukan kesilapan lain kerana cepat untuk melaksanakan undang-undang kutipan “kharaj” (cukai kepala) ke atas rakyat bukan Islam. Sehingga mendapat bantahan daripada pelbagai pihak melalui NGO yang mewakili bukan Islam.

Bila PAS kalah dalam perjuangan (pilihanraya), ini satu lagi bukti bahawa PAS bukan parti Islam dan ia tidak bercita-cita dengan penuh keikhlasan untuk memperjuangkan Islam tulin. Jika PAS benar-benar sebagai sebuah parti Islam dan bercita-cita menegakkan ajaran Islam sebenar, tentu telah berjaya dan Allah tidak izinkan dikalahkan oleh golongan yang mereka anggap sebagai musuh mereka. Ini didasarkan kepada sabda Nabi SAW yang menjamin parti Islam tidak dapat dihancurkan oleh musuh.

Sabda Rasulullah SAW, maksudnya; “Sentiasalah (yakni setiap masa) ada satu toiffah (kumpulan) yang dapat menzahirkan kebenaran di tengah masyarakat dan ia tidak dapat dirosakkan oleh orang yang menentangnya. Ia tetap kekal dan hidup sehinggalah hari kiamat.” (Riwayat Muslim, At Tirmizi dan Ibnu Majah).

Jadi, bila PAS dapat dikalahkan, menandakan perjuangan PAS bukanlah perjuangan kebenaran seperti mana yang dikehendaki oleh hadis di atas. Sebab itu Allah tidak memberi pertolongan. Sejak dahulu hingga ke hari ini PAS telah berjuang sudah setengah abad, cuma baru dapat dua negeri. Segi logiknya, nak tunggu berapa tahun lagi untuk menawan 13 negeri lagi. Jika PAS terus menerus dengan teknik dan stail perjuangan sekarang ini dan tidak berubah, selama itu PAS akan tetap jadi alat kepada DAP dan PKR untuk semata-mata menjadi penyokong kepada parti dan pemimpin yang tidak ada cita-cita Islam

Dalam hal ini PAS janganlah sombong dengan teguran ini dan juga hendaklah PAS akui kelemahannya dan mencari jalan terbaik untuk mengejar keredhaan Allah, bukan mengejar pengaruh rakyat atau pengaruh tokoh-tokoh tertentu dalam Pakatan Rakyat. Berikut ini dipaparkan kajian terhadap kesilapan Enekmen Hudud yang pernah dikemukan oleh PAS tahun 1993.

Dalam undang-undang hudud PAS membuang undang-undang Bughah

Dalam undang-undang hudud PAS, mereka membuang undang-undang Bughah. Ertinya mereka meminda undang Islam yang asal yang terdapat di dalam kanun undang-undang jenayah Islam yang sebenar. Lihat bahagian 1 Fasal 4, PAS sengaja tidak memasukkan fasal tentang penderhakaan kepada kerajaan Islam (Bughah) sebagai satu kesalahan di bawah hudud pada hal mazhab Syafei dan Maliki menerimanya sebagai satu kesalahan jenayah syariah. Ini menunjukkan PAS tidak bersungguh-sungguh untuk menegakkan undang-undang Islam, mereka cuma memilih yang sesuai dengan nafsu dan menolak yang berkemungkinan akan memakan diri sendiri.

PAS membuang undang-undang jenayah Pencerobohan, Meninggal Sembahyang, Sumpah sabit pembunuhan, Rasuah, Pecah Amanah dan Pengedaran Dadah

Kesilapan PAS lagi dalam mengemukakan draf hudud PAS ialah mereka meninggalkan beberapa perkara yang menjadi undang-undang Jenayah Syariah mengikut kitab‑kitab Feqah Mazhab Syafie. Perkara‑perkara itu ialah Akta Pencerobohan (Al-Shial), Taarikhul Solah (Meninggalkan sembahyang), Sumpah yang mensabitkan pembunuhan (Al-Qasamah), Rasuah, Pecah Amanah dan Mengedar Dadah.

Ini bererti, jika undang-undang itu dilaksanakan dalam negara Islam impian PAS, mengikut kepada draf asalnya, maka seolah-olah PAS menganggap orang yang melakukan pencerobohan, meninggalkan sembahyang, sumpah yang mensabitkan pembunuhan, rasuah, pecah amanah dan mengedar dadah bukan suatu kesalahan.

Hudud PAS tidak menganggap rogol sebagai satu jenayah

Hudud PAS juga tidak memasukkan rogol sebagai satu jenayah menurut syariah. Sementara fasal 46(2) amat mendukacitakan kerana mendedahkan wanita yang dirogol dan hamil kerana dirogol dikenakan hukuman seperti hukuman ke atas orang berzina jika tidak dapat membuktikan ia dirogol. Ertinya, bila wanita yang dirogol itu mengandung disebabkan rogol tanpa dapat membuktikan bahawa ia dirogol, lalu ia didakwa sebagai melakukan zina dan dihukum.

Hudud PAS bertentangan dengan kehendak al-Quran

Draf Enakmen Hudud PAS juga memberi pilihan kepada orang bukan Islam memilih sama ada mahu dihukum oleh makamah syariah atau menurut hukuman yang dikanunkan oleh Kanun Jenayah Syariah (11) 1993 atau mahu memlih dihukum dengan undang‑undang (sivil) yang sedia ada. Hal ini tercatit dalam fasal 56(2). Fasal ini jelas bertentangan ayat al-Quran yang bermaksud, “Dan apabila kamu menghukum di antara manu­sia maka hukumlah dengan adil.” (Al-Nisa’: 58). Ayat ini jelas merujukkan kepada manusia secara umum tanpa mengira agama, bangsa dan darjat keturunan.

PAS Mengiktiraf hakim bukan Islam mengendalikan kes dalam mahkamah syariah

Enakmen hudud PAS dibuat secara tergesa‑gesa, tidak rapi, tidak tersusun dan tidak lengkap, bahkan memberi terlalu banyak kuasa kepada hakim untuk mentafsirkan sebarang perkataan, perbahasan dan rangkaikata yang ada sedangkan enakmen ini tidak menjelaskan secara terperinci ciri‑ciri hakim yang mengandalikan mahkamah syariah khas.

Bahkan, dalam bab hakim, sesiapa sahaja tanpa mengira agama boleh dilantik. Lihat Fasal 68, menyatakan sesiapa sahaja yang sedang atau pernah memegang jawatan Hakim Mahkamah Tinggi Malaya atau Borneo atau Hakim Mahkamah Agung atau sesiapa sahaja yang mempunyai kelayakan untuk menjadi hakim mana‑mana mahkamah tersebut.

Fasal ini dengan jelas mengiktirafkan hakim mahkamah yang PAS anggap sebagi mahkamah taghut (kerana mahkamah biasa disifatkan oleh PAS sebagai mahkamah taghut) dan ini juga bererti PAS menerima pakai dan mengiktirat hakim yang dituduh taghut itu dalam mahkamah syariah PAS. Ini kerana mahkamah bi­asa mengambil hakim tanpa mengira agama.

Pada Fasal 68 PAS tidak nyatakan syarat‑syarat hakim secara rapi dan jelas sepertimana syarat‑syarat saksi. Pada Fasal 68 juga menunjukkan PAS mengiktiraf Qadhi Besar atau Mufti kerajaan tanpa batasan kepada mana‑mana negeri da­lam dunia ini. Ini juga satu kelonggaran yang merapuhkan enakmen hudud PAS

Hudud PAS mendorong orang Islam murtad kerana membenarkan tidak mengakui Islam jika berbuat salah

Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 dianggap lemah kerana mensyaratkan orang ha­nya dikira murtad dan dihukum hanya jika dia mengatakan bahawa dia memang berniat untuk murtad. Sila rujuk fasal 23. Enakmen ini seolah‑olah menggalak­kan orang ramai mengaku tidak Islam, kerana fasal 56(2) mengecualikan orang bukan Islam dari hukuman, ini menghapuskan roh perundangan Islam.

Fasal 56(2) ini juga bercanggah dengan kenyataan Nik Abdul Aziz yang disiarkan oleh Berita Harian 19.10.1993 yang di antara lain menyebut “Kerajaan negeri mengumumkan bahawa masya­rakat bukan Islam di negeri ini juga tidak terkecuali daripada hukum Hudud jika ia dilaksanakan di Kelantan.” (Utusan Malaysia 4 Mei 1992.)

Fasal 56(2) juga bercanggah dengan apa yang dituliskan oleh Bekas Setiausaha Dewan Ulama PAS Terengganu Ustaz Abu Bakar Abdullah di dalam bukunya Kearah Perlaksanaan Undang‑undang Islam di Malaysia: masalah dan penyelesaiannya muka surat 222 yang menyebut “di dalam bidang jenayah undang‑undang Islam mewajibkan perlaksanaannya meliputi orang Islam dan bukan Is­lam kerana Islam menganggap bahawa kesalahan jenayah melibatkan individu, masyarakat dan negara. Oleh itu la mestilah dipatuhi dan diikuti oleh semua masyarakat tanpa mengira kaum dan agama

Fasal 56(2) juga bercanggah dengan buku karangan Haji Muhammad Nor Abdul Majid, Bekas Pagawai Bahagian Dakwah Jabatan Agama Islam Kelantan yang disahkan oleh Mufti Kelantan dan disiarkan oleh Harakah 10.4.92 yang menyatakan “Hudud diwajibkan juga ke atas orang bukan Islam itu kerana berasaskan lima fakta.” (Lihat: Harakah 10.4.92).

Demikian beberapa contoh kesilapan PAS dalam membuat draf hukum hudud dan banyak lagi kesilapan mereka yang setelah itu mendakwa pula sebagai Hudud Islam dan undang-undang Allah kita patut ucapkan terima kasih kepada UMNO kerana menolak draf itu, kalau tidak tentu akan timbul kekeliruan, ketika itu orang bukan Islam akan mensifatkan Islam sebagai suatu agama yang tidak bersifat global. Lantaran itu tidak hairanlah dengan penuh sinis Karpal Singh dalam akhbar Watan terbitan 27 Disember 1990 lebih dahulu menyindir usaha PAS Kelantan untuk menegakkan undang-undang Islam sebagi sia-sia. Jelas selepas itu memang PAS gagal melaksanakan impiannya.

(Petikan dari buku 70 Dalil Impian PAS Jadi Kenyataan)

No comments: