Sunday, September 26, 2010

BIADABNYA ULAMA KITA...!

Biadabnya Ulama Kita

Siapakah lagi sebaik-baik makhluk yang Allah telah jadikan melainkan Rasulullah SAW, yang termulia dan teragung. Bukan kita (selaku umatnya) yang mendakwa, tetapi yang mendakwa ialah para Nabi dan Rasul dahulu, termasuk Nabi Adam a.s. mengakumi Rasulullah SAW.

Bacalah hadis-hadis tentang bagaimana Nabi Adam a.s. berdoa dengan menyebut nama Nabi Muhammad SAW, baru doanya dimakbulkan Allah, dan juga hadis tentang kisah Israk dan Mikraj, bagaimana para Nabi dan Rasul menghormati Nabi Muhammad SAW dengan menjadi Beliau SAW sebagai imam ketika bersolat di Masjid Aqsa.

Siapalah kita ini untuk menjadi hakim untuk menentukan status dan kedudukan Nabi Muhammad SAW sehingga kita sendiri menilai dan meletakkan taraf Baginda SAW sebagai manusia biasa sahaja sehingga tidak mahu meraiekan hari kelahiran (maulid) Baginda SAW.

Sesetengah orang pula, bila mendengar ada orang bukan Islam kononnya menyokong Islam dan yakin pada sebahagian daripada ajaran Islam, maka ketika itu baru ia berasa yakin dan bangga dengan Islam, kerana Islam turut disokong oleh orang bukan Islam. Apakah kita ini cuma menanti orang bukan Islam sebut dahulu, maka baru kita tunjuk yakin dengan Islam?

Ketahuilah bahawa Islam ini milik Allah, bukan milik orang Islam, bukan juga milik ulama atau para ustaz, sama ada yang memahami Islam atau yang kurang memahami Islam, sebabnya secara kolektifnya kita (lebih-lebih lagi yang hidup pada zaman akhir ini) tidak semua kita tahu tentang Islam secara syumul, lebih-lebih lagi untuk menghayatinya dalam kehidupan harian secara syumul. Oleh kerana itu segala persoalan yang timbul, kita tidak boleh mendakwa bahawa kita semua fahaminya, bahkan kita tahu cara penyelesaiannya dengan tepat.

Saya sungguh tersinggung sekali, bila ada orang yang terkenal sebagai ulama mendakwa bahawa umat Islam tidak perlu mengadakan sambutan majlis Maulid Nabi SAW sempena hari atau bulan kelahiran Baginda Rasulullah SAW. Di manakah letaknya naluri kita selaku umat Nabi Muhammad SAW yang berani bercakap macam itu? Apakah orang yang bercakap macam tu merasa takut dianggap “berdosa” kerana menyambut hari kelahiran tokoh yang mulia, Rasul dan Nabinya sendiri secara besar-besaran?

Apakah kita merasa kita ni sudah cukup mulia kerana menjadi seorang tokoh yang terkenal sebagai ulama yang dipuji dan puja oleh para pengikut dan penyokong, berbanding dengan kemuliaan dan ketokohan Nabi Muhammad SAW yang sepatutnya lebih patut diberi sanjungan dan dimuliakan? Kenapa kita menjadi marah kepada orang yang menghina kita, tetapi kita tidak merasa tersinggung bila ada orang atau kita sendiri yang tidak mahu memulia dan menyanjung Nabi Muhammad SAW? Bahkan bukan sahaja itu, kita berani pula menjatuhkan hukuman sebagai “bid’ah” dan “sesat” pula kepada golongan yang menyanjung tinggi dan memuliakan Nabi Muhammad SAW dengan mengadakan acara majlis Maulid Nabi.

Cuba kita lihat hadis berkaitan dengan Israk dan Mikraj, betapa para Nabi dan Rasul dahulu memberi penghormatan istimewa kepada Nabi Muhammad SAW, ketika bersolat di Masjil Aqsa dan juga ketika Nabi Muhammad melintasi pintu-pintu langit pertama sehingga ke langit ketujuh.

Cuba lihat juga penghormatan yang amat tinggi diberikan oleh para Malaikat kepada Baginda Nabi Muhammad SAW ketika peristiwa Israk dan Mikraj tersebut. Bahkan, ketika sampai ke Sidratun Muntaha, hanya Nabi Muhammad sahaja dibenarkan naik, sedangkan Malaikat dan Burak yang mengiringinya tidak dibenarkan naik. Bahkan, Allah sendiri mengucapkan salam kepada Nabi Muhammad SAW sebagai mengalu-ngalukan kedatangan Baginda SAW ke Sidratun Muntaha. Penghormatan sedemikian tidak pernah diberikan kepada pada Nabi dan Rasul sebelumnya juga kepada makhluk Allah yang lain.

Cuba kita tanya, siapakah Nabi Muhammad SAW pada kita? Macamana kita kenal Nabi Muhammad SAW itu? Sebagai apa? Sebagai kawan kita atau rakan sebaya kita? Atau kita ni layak berada sebaris dan sekududukan dengan kita? Cuba kita sendiri jawab soalan ini, jangan bagi orang lain tolong jawap pada kita.

Di manakah kita letak darjat Nabi Muhammad SAW, sehingga kita melarang orang hendak menyambut hari kelahiran Baginda Rasulullah SAW kerana kononya tidak ada dalam sunnah Nabi dan Nabi SAW tidak perintahkan.

Dalam hal ini, kita belum bawa hujjah al-Quran atau hadis, lagipun tidak banyak hadis-hadis yang mereka boleh jumpa, kerana mereka hidup ketika kitab-kitab lama tidak boleh ditemui lagi dalam perpustakaan dan perbendaharaan ilmu dan di pusat pengajian Islam hari ini.

Rasanya, cukup kita bawa hujjah rasa naluri hati. Kerana selaku seorang manusia tentu setiap orang mempunyai perasaan.

Nabi Muhammad juga seorang manusia, tentu ia juga mempunyai perasaan macam kita. Kalau kita tersinggung jika ada orang bawahan kita (jika kita seorang berpangkat besar dan berkedudukan tinggi dalam masyarakat) tidak menghormati dan memuliakan kita, apakah kita anggap Nabi Muhammad tidak mempunyai perasaan macam kita?

Kalaupun Nabi Muhammad tidak tunjukkan perasaan tersinggungnya, waktu kita mengharamkan majlis “Mauliddin Nabi” atau mengharam membaca sejarahnya yang ditulis oleh Sidi Jaafar al-Barzanji, tetapi tentu para sahabat Nabi SAW sendiri seperti Saidina Umar dan lain-lain, jangan-jangan akan bertindak terhadap orang yang tidak mahu memulia dan menghormati Nabi Muhammad SAW.

Sudah tentu sekali kita telah tahu bagaimana cara Saidina Umar bertindak terhadap orang yang tidak beradab atau menyinggung Nabi Muhammad SAW. Tuan-tuan tentu telah boleh mengagak bagaimana cara Saidina Umar bertindak.

Saturday, August 21, 2010

Isu Doa Kepada KM Pulau Pinang dalam Khutbah Jummah: Siapakah Jadi Syaitan Bisu ?

Isu Doa Kepada KM Pulau Pinang dalam Khutbah Jumaat:

Siapakah Jadi Syaitan Bisu ?


Suatu isu yang agak baru ditimbulkan oleh pihak DAP di Pulau Pinang ialah memasukkan doa kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam khutbah Jumaat sebagai mengganti doa untuk Yang Dipertuan Agong.

Seperti biasa isu-isu berkaitan dengan agama bila ia dilakukan oleh pemimpin bukan Islam dalam Pakatan Rakyat, para ulama dalam Pakatan Rakyat sama ada dalam PKR atau PAS sering mendiamkan diri, tanpa memberi komen apa-apa.

Sama seperti isu pemeliharaan babi besar-besaran di Kedah dan Selangor, isu arak, isu menghadiri upacara pasang lilin di upacara keagamaan bukan Islam oleh pemimpin beragama Islam dalam Pakatan Rakyat, isu kelimah Allah dan lain-lain.

Tapi, bila hal-hal seperti itu terjadi dalam kerajaan BN, para ulama dalam PR dengan pantas mengeluarkan hukum kepada ulama yang membisu, terutama ulama dalam kerajaan sebagai “syaitan bisu”, kerana tidak berani menegur perkara yang mereka (ulama PR) anggap salah. Tetapi bila terjadi orang bukan Islam menyenda-menyenda Islam dalam PR, tak ada pula “syaitan bisu” timbul.

Mungkin peristiwa doa dalam khutbah Jumaat untuk KM Pulau Pinang yang bukan Islam itu terjadi dalam bulan puasa, syaitan dah kena penjara, jadi bukan sahaja tak dapat bergerak, langsung bisu sepanjang masa.

Sebenarnya, hukum mendoa untuk orang bukan Islam terdapat larangannya dalam al-Quran, yang mana Allah melarang Nabi Ibrahim berdoa kepada bapanya. Firman Allah. Bermaksud: “Tiadalah sepatutnya bagi Nabi dan orang yang beriman memintakan ampun (kepada Allah) bagi orang musyrik,
walaupun orang musyrik itu adalah kaum kerabat (nya), sesudah jelas bagi mereka, bahwasanya orang musyrik itu adalah penghuni neraka Jahanam.” (Surah al-Taubah [9] ayat 113).

Apakah para ulama dalam Pakatan Rakyat tidak membaca ayat ini. Bukan sahaja ayat ini, terdapat banyak lagi ayat-ayat al-Quran dan juga hadis yang melarang mendoa kebaikan kepada orang bukan Islam. Kecuali doa supaya mereka diberi hidayah supaya menerima Islam dan beriman kepada Allah.

Friday, May 21, 2010

Antara Politik dan Islam

ANTARA PERJUANGAN POLITIK ATAU PERJUANGAN ISLAM, MANA LEBIH UTAMA…?

Ura-ura PAS membuka keahlian kepada bukan Islam ialah suatu petanda parti itu lebih bersifat global, tetapi itu parti politik, ertinya kemasukan bukan Islam sebagai ahli dalam parti itu tidak kena mengena dengan agama Islam, kerana mengisi borang bukan bererti mereka “Bersyahadah” (mengucap dua kalimah Tayyibah). Ini menunjukkan PAS tidak boleh menganggapnya sebagai sebuah parti Islam. Kerana ia lebih kepada parti politik.
Sebab itu tidak timbul isu sokong dan pangkah PAS boleh dapat pahala dan tidak menyokong atau menentangnya sebagai menentang Islam. Pada saya, pindaan perlembagaan PAS untuk membolehkan PAS disertai keahliannya oleh bukan Islam, lebih mendorongkan PAS itu kepada parti politik yang lebih libral dan tidak ada kena mengena dengan Islam. Sebabnya, kalau sesetengah orang PAS anggap atau yakin bahawa PAS parti Islam, “PAS itu Islam dan Islam itu PAS” bagaimana orang bukan Islam yang mengisi borang menjadi ahli PAS ?, apakah secara atomatik ia menjadi Islam…?

Apa-apa pun dalam soal ini kita tidak mahu sentuh persoalan itu, kerana kita yakin bahawa syarat seseorang itu menjadi Muslim ialah dengan mengucap “Syahadah”… Jadi, semua orang boleh faham status parti PAS pada pandangan Islam.

Dengan itu, mana-mana parti pun bila ia memperjuangkan Islam, umat Islam kena sokong, sebabnya memandangkan “niatnya” tanpa mengambil kira dasar dan perlaksanaannya.
Bagaimana pula dengan PKR dan DAP yang tidak menyebut pun tentang perjuangan Islam, tetapi PAS boleh bekerjasama dengan parti itu. Itu strategi PASlah dan umat Islam berharap strategi itu menghasilkan natijah yang baik, iaitu dapat mengislamkan lebih ramai orang bukan Islam menganut Islam, kerana itulah sepatutnya PAS meletakkan dalam “matlamat perjuangannya”, bukan sekadar untuk menang dalam pilihanraya sahaja.

Sudah setengah abad PAS berjuang berapa ribu sudah orang bukan Islam menganut Islam, samakah dengan peranan PERKIM yang telah mengislamkan ribuan orang Cina…?
Kita, khususnya umat Islam berbangga jika PAS dengan perubahan baru (membuka pintu keahlian kepada bukan Islam) ini dapat menarik orang bukan Islam menganut Islam lebih ramai daripada “mengundi” PAS semasa pilihanraya.

Tetapi kalau sekadar untuk memancing undi, di segi politik mungkin PAS Berjaya, tetapi jika dipandang di segi moral keislaman, saya menganggap PAS gagal dalam “perjuangannya yang hakiki”.
Cuba para pemimpin PAS muhasabah diri, tanya diri masing-masing, PAS sudah berjuang selama satu abad, berapa ribu atau berapa juta sudah telah mengislam orang bukan Islam…? Apakah sama denagn jumlah PERKIM mengislamkan orang Cina…?

PAS jangan ketepikan tugas asas Islam, ialah BERDAKWAH. Itu juga tugas utama para Nabi dan Rasul. Dalam PAS banyak ulama, peranan ulama ialah sebagai pewaris para Nabi dan Rasul.
Tugas berdakwah merupakan tugas asas dalam mengembangkan dan menguatkan serta membangunkan Islam.

Tanpa dakwah, Islam tidak akan berkembang dan kuat. Sasaran dakwah bukan terhadap orang Islam sahaja, tetapi kepada orang bukan Islam juga agar dengan kemasukan mereka ke dalam Islam (menga¬nut agama Islam), jumlah umat Islam akan makin bertambah dan kuat dari semasa ke semasa.
Islam amat menghargai orang yang dapat mengIslamkan orang bukan Islam sebagai orang yang tinggi nilainya di sisi ALLAH dan ia mendapat balasan pahala setelah ia mati dan ia tergolong ke dalam golongan orang yang mendapat husnul khatimah dan mendapat Syurga.

Nabi SAW bersabda, maksudnya: “Siapa yang dapat mengIslamkan orang dengan usahanya, maka pastilah ia masuk ke dalam Syurga” -(Riwayat At Tabrani).


Hadis lain, Rasulullah SAW, maksudnya; “Barangsiapa yang menunjukkan suatu jalan kebajikan (kebenaran) kepada seseor¬ang, maka ia memperolehi pahala hasil daripada amalan orang yang ditunjukki jalan kebajikan itu” -(Riwayat Muslim).


Dalam hadis lain Nabi SAW bersabda lagi, maksudnya; “Siapa yang mengajak (menyeru) kepada pertunjuk (kebenaran), dia memperolehi pahala seperti pahala orang yang mengikut (bera¬mal) seruannya...” -(Riwayat Muslim).

Maksudnya ia memperolehi dua bahagian pahala ialah pahala usahanya mengIslamkan orang dan pahala orang yang mengamalkan kebajikan yang diajar atau ditunjukinya juga diperolehinya.

Apakah kita boleh pandang kecil hadis ini…?

Wednesday, May 5, 2010

BERPOLITIK DALAM MASJID


Assalamu alaikum...

Rasa terpanggil untuk membicarakan persoalan bercakap hal politik di rumah ALLAH (Masjid), apakah akan terjadi dengan fahaman "Politik sempit" sekarang dibenarkan dengan nada suara berbau mengumpat, syak wasangka, tuduhan tanpa bukti dan saksi dan memperjatuhkan maruah antara sesama Islam. Apakah kita begitu yakin pihak kita lebih Islamik dari orang orang lain...? Mentang-mentang kita bergelar ulama atau pendakwah, asalkan percakapan kita itu di atas tiket "kononnya" kita semacam sudah cukup faham, dan langsung tidak rasa berdosa mengandaikan "mengumpat" atau "mendedah rahsia dan aib orang lain" boleh menjadi HALAL. Begitu kah...? Sudah pastikah...? Terlalu yakinkah...? Yang kita tak berdosa...? Berani tanggung tak, kalau perhitungan kita ini sebenarnya MELAMPAUI BATAS ? Bagaimana, kalau ianya salah...? Jangan terlalu yakin yang cara kita itu, di hadapan rumah ALLAH (masjid) sanggup melakukan "ketelanjuran". Kalau sudah terjadi begitu, bagaimana dosa-dosa itu hendak dipohon ampun kepada ALLAH nanti, lebih-lebih lagi kalau sudah tersebar kepada ribuan manusia, kalau hendak ditarik balik, bukanlah senang...! Berpolitik di dalam masjid tak salah, tetapi biarlah bersopan di dalam rumah ALLAH dan di hadapan ALLAH. Bayangkanlah, kalau Rasulullah saw dan Saidina Umar mendengar kita menyampaikan segala urusan pemerintah untuk melaksanakan POLITIK ISLAM, tetapi dengan bahasa dan nada yang biasa digunakan sekarang ini...agak-agak...hujjah-hujjah kita disenangikah oleh Rasulullah saw dan Saidina Umar ? Kalau Saidina Umar tak angkat pedang pun barangkali ditamparnya seorang demi seorang, walaupun berserban, lagi-lagi lah kalau tak berserban, kerana dalam ini Saidina Umar ialah di antara yang boleh dijadikan kayu pengukur sewaktu kita berpolitik di dalam masjid. Beranikah kita terlibat sama bersyubahat dalam kemelut politik yang telah dicemari oleh orang yang terlalu yakin mendakwa mereka "pewaris Nabi" dan pandai berpolitik seperti Saidina Umar... Apakah halnya pula di pihak lawan akan cuba pula menafikan akan dakwaan dan tuduhan kita itu dilakukan juga di dalam masjid... Kalau ini boleh berlaku, sesama kita sekarang, nanti tentulah anak dan cucu-cicit kita pula, yang tak faham situasi yang sebenar antara kita, mereka akan lebih berani melakukan mungkar yang lebih besar daripada ini, di dalam masjid. Mungkin mereka akan bergaduh dan bertumpah darah lebih dahsyat dari ayah-ayah mereka yang asal memulakannya... BUKANKAH SUDAH MAKLUM CARA ORANG SEKARANG BERPOLITIK SUDAH PANDAI BERMAIN KOTOR SEPERTI LAWANNYA...? JANGAN LUPA...ORANG BUKAN ISLAM PUN MAKIN BERAMBAH KELIRU, TENGOK KELAKUAN DAN CONTOH ISLAM KITA... INIKAH YANG DISABDAKAN OLEH RASULULLAH, TANDA-TANDA HAMPIR KIAMAT IAITU FITNAH BERLAKU DI RUMAH-RUMAH ALLAH. JANGAN-JANGAN KITALAH ORANG YANG DIMAKSUDKAN OLEH RASULULLAH SAW ITU...?..!!

Pak Toja




Assalamu alaikum...

Salam untuk semua pembaca...tujuan Pak Toja membuka Blog ini ialah untuk sesama kita dapat bertukar pendapat dalam hal ehwal semua perkara dan masalah, tidak terikat kepada isu-isu semasa sahaja, tetapi juga boleh berbentuk persoalan atau soal jawab umum dan agama yang menyentuh peribadi, keluarga dan masyarakat.

Pak Toja amat mengalu-ngalukan komen atau pendapat sama ada berkaitan dengan isu dalam Blog ini atau apa-apa sahaja. Ruangan ini di samping untuk mengasah minda, yang paling penting sekali ialah menanamkan kesedaran Iman sehingga dapat merasakan kebesaran Allah dan menyintai Rasulullah saw, serta menghormati dan memuliakan Baginda saw dengan selawat....

Salam dari:
Pak Toja