Saturday, August 21, 2010

Isu Doa Kepada KM Pulau Pinang dalam Khutbah Jummah: Siapakah Jadi Syaitan Bisu ?

Isu Doa Kepada KM Pulau Pinang dalam Khutbah Jumaat:

Siapakah Jadi Syaitan Bisu ?


Suatu isu yang agak baru ditimbulkan oleh pihak DAP di Pulau Pinang ialah memasukkan doa kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam khutbah Jumaat sebagai mengganti doa untuk Yang Dipertuan Agong.

Seperti biasa isu-isu berkaitan dengan agama bila ia dilakukan oleh pemimpin bukan Islam dalam Pakatan Rakyat, para ulama dalam Pakatan Rakyat sama ada dalam PKR atau PAS sering mendiamkan diri, tanpa memberi komen apa-apa.

Sama seperti isu pemeliharaan babi besar-besaran di Kedah dan Selangor, isu arak, isu menghadiri upacara pasang lilin di upacara keagamaan bukan Islam oleh pemimpin beragama Islam dalam Pakatan Rakyat, isu kelimah Allah dan lain-lain.

Tapi, bila hal-hal seperti itu terjadi dalam kerajaan BN, para ulama dalam PR dengan pantas mengeluarkan hukum kepada ulama yang membisu, terutama ulama dalam kerajaan sebagai “syaitan bisu”, kerana tidak berani menegur perkara yang mereka (ulama PR) anggap salah. Tetapi bila terjadi orang bukan Islam menyenda-menyenda Islam dalam PR, tak ada pula “syaitan bisu” timbul.

Mungkin peristiwa doa dalam khutbah Jumaat untuk KM Pulau Pinang yang bukan Islam itu terjadi dalam bulan puasa, syaitan dah kena penjara, jadi bukan sahaja tak dapat bergerak, langsung bisu sepanjang masa.

Sebenarnya, hukum mendoa untuk orang bukan Islam terdapat larangannya dalam al-Quran, yang mana Allah melarang Nabi Ibrahim berdoa kepada bapanya. Firman Allah. Bermaksud: “Tiadalah sepatutnya bagi Nabi dan orang yang beriman memintakan ampun (kepada Allah) bagi orang musyrik,
walaupun orang musyrik itu adalah kaum kerabat (nya), sesudah jelas bagi mereka, bahwasanya orang musyrik itu adalah penghuni neraka Jahanam.” (Surah al-Taubah [9] ayat 113).

Apakah para ulama dalam Pakatan Rakyat tidak membaca ayat ini. Bukan sahaja ayat ini, terdapat banyak lagi ayat-ayat al-Quran dan juga hadis yang melarang mendoa kebaikan kepada orang bukan Islam. Kecuali doa supaya mereka diberi hidayah supaya menerima Islam dan beriman kepada Allah.