Monday, September 26, 2011

Bukti-bukti Mat Indera Bukan Wira

Bukti-bukti Mat Indera Bukan Wira

Isu Mat Indera yang dianggap oleh PAS (Mat Sabu) sebagai pejuang atau wira, dalam konteks PAS yang mengakui sebagai parti Islam atau parti yang memperjuangkan Islam, tentu sekali “pengiktirafan” itu boleh ditafsirkan bahawa PAS cuba meletakkan status Mat Indera sebagai pejuang yang diiktirafkan oleh agama Islam atau “pejuang Islam”. Sekiranya pengiktirafan itu dilakukan oleh DAP atau PKR yang tidak mengaitkan perjuangan mereka dengan Islam, maka tafsirannya tentu menjadi lain.

Selain PAS cuba memulihkan anggapan terhadap Mat Indera sebagai bukan komunis atau dia-lah kononnya sebagai wira (pejuang) kemerdekaan sebenar, dalam masa yang sama PAS juga merendah-rendahkan para pejuang kemerdekaan yang telah tercatat dalam sejarah. Tindakan ini menimbulkan pelbagai tanggapan dalam masyarakat terhadap tokoh-tokoh tertentu yang terlibat atau melibatkan diri dalam perjuangan kemerdekaan.

Walaupun isu Mat Indera boleh dianggap telah hampir basi, tetapi oleh kerana, sehingga saat ini belum ada lagi mana-mana pihak mengulas dan menjelaskannya mengikut perpektif Islam, mama saya rasa terpanggil untuk menjelaskannnya dengan menyorot peristiwa itu mengikut perspekstif Islam berdasarkan dalil al-Quran, hadis dan sejarah perjuangan Rasulullah (saw). Saya menunggu juga kalau-kalau ada mana-mana ulamak tampil mengulasnya, tetapi nampaknya mereka mengambil jalan “membisu.”

Dalam hal ini, saya tidak mahu menyentuh persoalan sama ada peribadi Mat Indera seorang komunis atau pejuang kemerdekaan, tapi saya ingin menyorot tindakan yang dilakukan oleh Mat Indera, salah seorang pemimpin Rejimen ke-10 Parti Komunis Malaya (PKM) menyerang balai polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950, selepas British mengisytihar Undang-Undang Darurat pada 19 Jun 1948 (berikutan militant Komunis membunuh peladang British). Sama ada semasa serangan itu Mat Indera ada atau tidak, tetapi selaku ketua Rejimen ke-10 dalam parti komunis (ketika itu), beliau dianggap bertanggung jawab ke atas insiden serangan Balai Polis Bukit Kepong itu.

Persoalan yang saya ingin sentuh di sini ialah apakah tindakan Mat Indera itu selari dengan ajaran Islam atau tidak, sehingga PAS berani mengagungkan Mat indera. Apa pun persoalan, maka jawapan yang paling tepat sekali ialah kita kena rujuk kepada ajaran Islam sendiri yang bersumberkan al-Quran, Hadis dan fatwa para ulamak muktabar. Kerana segala kebenaran itu tidak terletak pada fakta sahaja, bahkah tidak kepada akal yang menilainya, tetapi kebenaran itu ialah hak Allah, yang menentunya ialah Allah. Maka kita kita kena rujuk kepada Allah.

Firman Allah, maksudnya; “Wahai orang yang beriman, Taatlah kamu kepada Allah dan Taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada ‘Ulil-Amri’ (orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.” (Surah al-Nisa’ ayat 59).

Firman Allah lagi, mamsudnya; “Perkara yang benar ialah yang datang dari Tuhanmu. Maka jangan sekali-kali engkau menjadi orang yang ragu-ragu.” (Surah Ali Imran ayat 60).

Berikut ialah dikemukakan beberapa bukti bahawa Mat Indera bukan wira atau pejuang menurut pandangan Islam;

1. Tindakan Mat Indera menyerang Balai Polis

Tindakan Mat Indera menyerang Balai Polis adalah tindakan yang bertentangan dengan ayaran Islam. Menurut ajaran Islam, Islam tidak memerintah melakukan serangan lebih dahulu terhadap musuh yang ingin berperang, tanpa lebih dahulu mengajak mereka menerima Islam (Allah dan Rasul). Setelah mengajak kepada Islam, jika mereka (orang kafir) menolak juga dan ingin berperang. Jika mereka menyerang dahulu baru diperintahkan melawan dan halal membunuh mereka atas dasar mempertahankan diri dan mempertahankan kesucian agama Islam. Jika mereka tidak berperang atau tidak menyerang, Islam memilih jalan damai (tidak menyerang dan tidak berperang) dan memberi kebebasan (masa) mereka memilih dan menetapkan pendirian, sama ada hendak menerima Islam ketika itu atau pada masa yang lain atau mereka menyerah kalah dengan bernaung di bawah pemerintah Islam dengan membayar jizyah (cukai kepala) sehingga mereka menerima Islam dengan mengucap Syahadah.

Dalil-dalil Islam melarang menyerang ialah seperti berikut;

Firman Allah, maksudnya; “Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) agama Allah akan orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang menceroboh.” (Surah al-Baqarah ayat 190).

Firman Allah lagi, maksudnya; “Diizinkan berperang bagi orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya; dan sesungguhnya Allah amat berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan).” (Surah Hajj ayat 39).

Firman Allah selanjutnya, bermaksud; “…(mencabuli) bulan yang dihormati itu ialah dengan (sebab membalas pencabulan dalam) bulan yang dihormati; dan tiap-tiap perkara yang dihormati itu (jika dicabuli), ada balasannya yang seimbang. Oleh itu sesiapa yang melakukan pencerobohan terhadap kamu, maka balaslah pencerobohannya itu seimbang dengan pencerobohan yang dilakukannya kepada kamu (jangan melebihi); dan bertaqwalah kamu kepada Allah serta ketahuilah, sesungguhnya Allah beserta orang yang bertakwa.” (Surah al-Baqarah ayat 194).

Ayat-ayat di atas menjelaskan bahawa Islam hanya membenarkan berperang (difensif) terhadap musuh yang menyerang, dan Islam tidak membenarkan menyerang (opensif) musuh yang belum menyerang. Semasa di Medan perang, langkah pertama ialah Islam memerintahkan agar menyeru kepada beriman kepada Allah dan Rasul. Jika mereka menolak dan menyerang, baru diperintahkan melawan untuk tujuan mempertahankan diri dan membela Islam.

Menurut Tafsir al-Manar, penafsirnya menjelaskan ayat al-Quran surah al-Baqarah ayat 216, bermaksud; “Kamu Diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci; dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. dan (ingatlah), Allah jualah Yang Maha Mengetahui (semuanya yang tersirat itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.”

Walaupun telah jelas ayat di atas yang lebih cenderung kepada perdamaian, akan tetapi oleh sesetengah orang, dengan sengaja atau tidak, mereka yang menyalahfahamkan firman Allah; “Dan perangilah mereka, supaya jangan ada fitnah dan supaya agama itu semata-mata bagi Allah” tetap mensifatkan berperang (menyerang) orang kafir sebagai jihad untuk mencari syahid. Mereka berkeyakinan dengan adanya ayat tersebut di atas, bahawa Islam mencita-citakan untuk menghancurkan seluruh musuh-musuhnya yang tersebar di berbagai penjuru dunia, sama ada mereka orang musyrik atau Masehi atau Yahudi ataupun lainnya, sehingga akan jadilah kekuasaan itu bagi Islam di seluruh dunia semata-mata. Sebenarnya cara menafsir ayat tersebut ditafsirkan mengikut pandangan oleh sebahagian orang orientalis, yang mahu melihat umat Islam sebagai golongan “militant”.

Namun dalam hal ini, kita berpendapat bahawa perintah perang dalam ayat ini mempunyai dua maksud:

Maksud Pertama: Memelihara kaum Muslimin dari berbagai macam penindasan agama, seperti yang telah kita bicarakan.

Maksud Kedua: Menetapkan kebebasan beragama. Artinya, agama hendaknya dianut dengan pilihan dan kehendak si pemeluk itu sendiri, bukan di atas paksaan orang lain. Dia menganut mana yang dia kehendaki, dan dia tinggaikan mana yang dia tidak suka. Maka tidak ada pemaksaan dalam memasuki sesuatu agama terhadap seseorang dan tidak ada pula sesuatu ancaman yang ditujukan kepada yang lain.

Antara sebab kita mengambil pendirian sedemikian adalah kerana banyak terdapat ayat-ayat dalam al-Quran, yang di antaranya adalah ayat-ayat berikut ini;

Firman Allah, maksudnya: “Jika mereka berhenti (dari kekafiran), maka sesungguhnya Allah Maha Melihat apa yang mereka kerjakan.” Surah al-Anfal ayat 39).

Ayat lain, Allah ada mengingatkan lagi, maksudnya; “Dan jika mereka condong kepada perdamaian, maka hendaklah kamu juga condong kepadanya....” (Surah al-Anfal ayat 61).

Ayat-ayat di atas menguatkan lagi hujah bahawa Islam bukan agama “paksaan” dan Islam tidak ditegak di hujung pedang. Peperangan adalah langkah terakhir jika Islam diserang. Islam melarang menyerang lebih dahulu. Islam adalah agama keselamatan dan mementingkan perdamaian.

Demikianlah penjelasan tentang tujuan pokok dari berperang bagi pihak kaum Muslimin ialah tujuan difensif, bukan tujuan ofensif atau kerana memusuhi sesuatu agama secara membuta tuli seperti mana yang dilakukan oleh orang Yahudi ke atas agama Islam dan juga lain-lain agama. Mungkin kita terbaca sejarah bahawa kaum Muslimin yang memasuki sebahagian negeri-negeri dengan membawa pedang, tapi sama sekali belum pernah terjadi, bahawa mereka memaksa seseorang untuk masuk dalam agama Islam atau meninggalkan agamanya semula dengan menghunus pedang sebagai ugutan.

Demikian penjelasan terhadap salahfaham orang yang menganggap Mat Indera sebagai wira. Bagi kita jelas bahawa dia bukan wira yang diiktirafkan oleh Islam, kerana tindakannya “menyerang” bertentangan dengan ajaran Islam. Mat Indera cuma wara bagi PAS dan Mat Sabu sahaja. Tapi bukan wira di sudut pandangan Islam.

2. Mat Indera Berkerjasama dengan bukan Islam dalam peperangan

Islam amat tegas dalam peperangan, sehingga berkerjasama dengan bukan Islam dalam peperangan dilarang. Hukum pejuang Islam meminta bantuan peperangan daripada orang bukan Islam telah diperjelaskan oleh para ulamak feqh, antaranya Imam Abu Hanifah (r.a), Imam Malik (r.a) dan Imam Ahmad (r.a) tidak membenarkan pemimpin atau pejuang Islam meminta bantuan dari orang kafir ketika peperangan.

Mereka berpandukan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Muslim dari Aisyah (r.anha) yang bermaksud; “Rasulullah (saw) ketika bersama tentera Islam menuju Badar. Ketika mereka sampai di suatu tempat bernama Bukhratul Wabarah melintasi seorang lelaki kafir yang menawarkan bantuaa, para sababat merasa gembira dengan kesediaannya yang ingin menghulurkan bantuan. Apabila hal itu disampaikan kepada Baginda (saw), dengan tenang Baginda (saw) bertanya kepada lelaki tersebut; ‘Adakab kamu beriman kepada Allah dan rasul-Nya?’ Dia menjawab.. ‘Tidak.’ Lalu Baginda (saw) menjawab; ‘Pulanglab! Aku tidak menerima pertolongan dari orang kafir’. Ketika sampai di Sajarah lelaki tersebut menawarkan lagi bantuan yang sama seperti pertama kali pertemuan. Nabi (saw) juga mengajukan pertanyaan yang sama, namun dia tetap tidak mahu beriman. Nabi (saw) tetap tidak mahu menerima bantuan orang kafir itu. Ketika sampai di Baida’ pula, lelaki tersebut menawarkan bantuan lagi, sebagaimana sebelumnya dan Nabi (saw) bertanya lagi (soalan yagn sama); ‘Adakab kamu mahu beriman pada Allah dan rasul-Nya?’ Dia menjawab: ‘Ya.’ Lalau Nabi (saw) membalas: ‘Jika demikian marilah bersama-sama kami’.”

Daripada keterangan yang telah diperincikan, para ulamak mutaakhirin menerima pendapat Imam Abu Hanifah, Imam Malik dan Iman Ahmad yang tidak membenarkan pemimpin Islam meminta atau menerima bantuan daripada orang kafir. Ini disebabkan wujud kemungkinan berlaku pengkhianatan dan penipuan dari mereka. (Lihat: Menghayati Pengertian Jihad oleh Daud Mohammad Salleh, terbitan: Kor Agama Angkatan Tentera, Kuala Lumpur, 1998).

Adapun berkiatan dengan pendapat Imam Syafie yang menghukum harus meminta bantuan orang bukan Islam (kafir) dalam peperangan jangan kita salah anggap, kerana Imam Syafie memberi syarat tertentu. Imam Syafie rahimahullah mengharuskan pemimpin Islam meminta bantuan orang kafir di dalam peperangan tetapi dengan dua syarat:

a. Setelah diyakini bahawa mereka mempunyai niat yang baik dan terselamat dari perbuatan khianat

b. Setelah diyakini bahawa orang kafir yang diminta pertolongan juga bermusuh dengan negara yang ingin diperangi.

Imam Syafi’e rohimahullah menggunakan hujah keharusan ini berpandukan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Zuhri, yang dalam periwayatannya ada menyatakan bahawa Baginda (saw) pernah meminta pertolongan dengan sekumpulan orang Yahudi di dalam sesuatu peperangan. Diriwayatkan juga bahawa Sofwan bin Umaiyah seorang kafir pernah keluar berperang bersama Nabi (saw) dalam Peperangan Khaibar.

Dalam hal kita memilih jalan melarang berkerja sama atau meminta pertolongan orang bukan Islam dalam peperangan, tidak bermakna kita menolak pendapat Imam Syafie (rohimahullah), kerana pendapatnya juga tepat. Kerana Imam Syafie meletakkan dua syarat dan kedua-dua syarat itu wajib dipenuhi sebelum menerima tawaran orang kafir. Persoalan kita, apakah Mat Indera mengikut syarat tersebut?

3. Mat Indera Berjuang di bawah Panji-panji Kesesatan

An-Nasaie meriwayatkan daripada Jundub bin Abdullah (r.a) katanya, Rasulullah (saw) bersabda, aksudnya; “Barangsiapa yang berperang di bawah panji-panji kesesatan, dia berperang kerana asobiyah, dia marah kerana asobiyah, maka pembunuhannya adalah pemhunuhan jahiliyah.” (. Shahih Sunan an-Nasa'i 3/3835/861).

Muslim, al-Nasaie dan al-Thayalisi meriwayatkan daripada Jundub bin Abdullah (r.a) bahawa Rasulullah (saw) bersabda, maksudnya; “Barangsiapa yang dibunuh di bawah panji-panji kesesatan, dia mengajak kepada asobiyah atau dia menolong asobiyah, maka pembunuhannya adalah pembunuhan jahiliyah.” (Silsilatul Ahadia al-Sahihati 1/433/720, Muslim 6/22 dan al-Nasaie 3//3835/861).

Telah jelas dari bukti-bukti sejarah bahawa Mat Indera berjuang di bawah panji-panji komunis, walaupun dia menentang penjajah British, tetapi jalan yang dilaluinya itu salah di segi Islam. Walaupun ada andaian yang mengatakan Mat Indera seorang ahli agama, tetapi sebagai ahli agama sepatutnya dia faham akan hukum-hakam Islam dalam persoalan peperangan dan politik. Tetapi mungkin Mat Indera cuma belajar ilmu agama hanya di suduh fiqh (hukum-hakam solat, puasa, zakat dah haji sahaja). Tetapi dalam persoalan perjuangan dn politik, dia terpengaruh dengan perjuangan revolusi yang didapati daripada pengaruh para pejuang di Indonesia.

4. Mat Indera Terlibat Menyerang dan Membunuh orang Islam

Sepertimana yang tercatat dalam sejarah, ramai yang mati diserang di Balai Polis Bukit Kepung, Johor itu ialah polis yang beragama Islam. Dalam perjuangan dan peperangan Islam melarang membunuh orang yang mengakui beragama Islam.

Imam Muslim meriwayat hadis dari Abu Hurairah (ra) bahawa Rasulullah (saw) bersabda, maksudanya; “Barangsiapa yang memerangi umatku (orang Islam) dengan pedangnya, dia memenggal (membunuh) dengan pedangnya (senjata) akan orang yang baik (yang beragama Islam) dan juga orang yang jahat (yang beragama Islam), dan dia tidak menunaikan janjinya yang diberikan janji kepadanya, maka dia bukanlah dari golonganku dan juga bukan dari golonganya (orang yang diperangi itu).”

Hadis ini jelas sekali melarang membunuh orang Islam, walaupun orang yang mengakui Islam itu terdiri daripadap orang jahat.

Firman Allah, maksudnya; “Dan sesiapa yang membunuh seorang Mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka jahanam, kekal dia di dalamnya, dan Allah murka kepada-Nya, dan melakanatkannya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar.” (Surah al-Nisa’ ayat 93).

Demikianlah empat hujah di atas, yang boleh djadikan pedoman kepada kita bahawa tindakan Mat Indera adalah bertentangan dengan roh ajaran Islam, maka dengan itu tidak layak dia diberi pengiktirafan sebagai wira menurut ajaran Islam. Jika PAS ingin mengiktiraf Mat Indera sebagai pejuang (wira) sekaligus hendak mengiktiraf kematiannya sebagai “syuhadak”, itu hak PAS, tetapi para ulamak PAS patut menilainya berdasarkan syariat, jangan membiarkan kepada Mat Sabu sahaja membuat penilaian. Jangan anggap bila semua perkara datang daripada PAS dan bila ia ditentang oleh UMNO semuanya perlu dibela sehingga perkara yang bertentangan dengan Islam pun wajib dibela?.

Inilah sikap “asobiyah” yang sebenar, iaitu membela rakan dalam hal yang salah kerana atas dasar rakan seperjuangan, bukan di atas dasar kebenaran. Dengan itu jelaslah bahawa PAS parti “asobiyah qaumiyah.”


No comments: